Wednesday, 23 October 2013

KISAH SANG KANCIL DAN SANG MONYET.

Google Image




Pada zaman dahulu, seekor Sang Kancil telah pergi ke hutan untuk mencari makanan. Dalam perjalanannya Sang Kancil telah terlihat sebatang pokok jambu yang lebat buahnya. Sang Kancil berasa amat teruja untuk memakan buah jambu itu.


Pada masa yang sama seekor monyet telah berada di atas pokok jambu itu. Sang Kancil telah berkata kepada sang monyet itu.

"Wahai Sang Monyet berilah aku sedikit buah jambu itu kepada aku".

Sang Monyet memandang ke Sang Kancil dengan penuh sombong seraya berkata,

"Kalau engkau nak buah nie panjatlah sendiri".

Dalam pada yang sama Sang Kancil berfikir bagaimanakah caranya untuk mengenakan Sang Kancil ini. Sang Kancil telah mendapat satu idea lantas dia mengambil sebatang kayu dan terus membaling ke arah Sang Monyet. Sang Monyet berasa marah lantas mengambil beberapa buah jambu dan terus membaling ke arah Sang Kancil.

Sang Monyet telah membaling jambu ke arah dengan banyak sekali kerana Sang Kancil dapat mengelaknya. Tiba-tiba Sang Kancil berkata sambil ketawa,

"Hahaha.... Engkau sudah tertipu wahai Sang Monyet. Lihatlah betapa banyaknya buah jambu yang aku dapat di sini tanpa perlu memanjat".

Sang Monyet terpinga-pinga sambil berkata di dalam hatinya,"Sungguh hebat engkau Sang Kancil mengenakan aku".

Setelah kekenyangan Sang Kancil terus meninggalkan Sang Monyet yang dalam keadaan malu teramat sangat.




Tuesday, 22 October 2013

Asal Usul Bunga Cengkih.





Pada zaman dahulu terdapat satu negeri yang mempunyai rakyat dan raja yang tidak berkata-kata. Ini adalah disebabkan mereka semua takut dan malu untuk bercakap kerana mempunyai mulut yang berbau busuk.


Raja telah berkata kepada menteri-menterinya,

"Apakah penyakit yang melanda negeri beta kerana semua rakyat beta serta beta sendiri mempunyai mulut yang busuk?"

Tetapi mereka semua membisu kerana ditakuti akan berbau busuk di depan Raja tersebut apabila berkata-kata.

Pada suatu hari di taman larangan istana, anak puteri Raja telah keluar bersiar-siar di situ. Tuan puteri tersebut bermain-main dengan dayang-dayang tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun.Tiba-tiba seekor burung murai telah hinggap di dahan berdekatan tuan puteri tersebut.

Burung itu seolah-olah bercakap dengan tuan puteri. Tuan puteri hanya mampu memandang sahaja gelagat burung murai itu. Burung murai itu telah turun ke tanah sambil mematuk-matuk bunga yang berada di depan puteri itu sambil berkicau-kicau.

Tuan puteri tersebut merasa hairan melihat gelagat burung itu mematuk-matuk bunga tersebut sambiul berkicau memandang beliau. Setelah burung murai itu beredar puteri itu telah memakan bunga tersebut. Selang beberapa hari kemudian, puteri tersebut merasa kelainan apabila bau mulutnya telah hilang smama sekali.

Semenjak kejadian itu semua orang di istana termasuk Raja merasa hairan kerana mulut tuan puterinya tidak berbau busuk malah wangi sama sekali. Malah di negeri tersebut hanya puteri seorang sahaja yang berkata-kata dan menyanyi. Raja berasa hairan dengan kejadian tersebut dan bertanya kepada tuan puteri tersebut apa sebenarnya yang berlaku. Tuan puteri tersebut telah menceritakan segala-galanya tentang bunga itu.

Raja dengan segera menitahkan semua rakyar memakan bunga tersebut dan menanam nya. sejak hari itu semua orang di negeri itu gembira dan tidak malu untuk berkata-kata lagi. Bunga itu telah menjadi antara hasil negeri tersebut. Raja telah menamakan bunga tersebut sebagai bunga cengkih.

Wallahulam.

Wednesday, 16 October 2013

Sumpahan Oleh Ulat Tanah.

 
Hampir seminggu Tuan Peladang duduk termenung. Musim kemarau memusnahkan tanaman diladangnya. Tanah menjadi kering-kontang. Tuan Peladang melihat air simpanannya di dalam tempayan cuma tinggal separuh sahaja lagi. Dia khuatir jika keadaan kemarau terus berlarutan, ini akan mengakibatkan dia mati kehausan.

Seekor lembu kepunyaan Tuan Peladang berada di kandang. Sang Lembu gembira kerana tidak perlu bekerja di ladang sejak musim kemarau melanda. Namun demikian, kegembiraan lembu itu tidak lama kerana musim kemarau itu menyebabkan rumput-rumput segar yang menjadi makanannya kering dan mati. Kini sukar bagi Sang Lembu itu mendapatkan rumput yang segar.

Pada suatu hari Sang Lembu mengambil keputusan untuk meninggalkan Tuan Peladang. Seboleh-bolehnya Sang Lembu ingin membuat sesuatu untuk mengubat kesedihan Tuan Peladang. Pada suatu malam, Sang Lembu telah keluar meninggalkan kandangnya. Sang Lembu berjalan untuk mencari sumber air. Setelah jauh berjalan, Sang Lembu terjumpa dengan sebuah perigi. Sang Lembu berfikir, tentulah perigi itu mempunyai air tetapi sungguh malang nasibnya kerana tiada air di dalam perigi tersebut. Sang Lembu berasa sedih dan duduk di tepi perigi buta itu sambil mengenangkan nasib yang bakal manimpa dirinya.

Sewaktu Sang Lembu duduk ditepi perigi itu, dia terdengar satu suara memanggilnya.
“Siapa?” Sang Lembu bertanya kehairanan.

“Aku, ulat tanah di dalam perigi buta ini.”

“Buat apa kamu di dalam perigi ini?” soal Sang Lembu lagi.

“Ini rumahku Sang Lembu. Sudah lama aku di sini sejak perigi ini kering airnya.”

“Tapi bagaimana kamu boleh hidup tanpa air di sini?” cetus Sang Lembu itu.

“Aku akan memberitahu kamu kenapa aku boleh hidup di sini tetapi kamu mestilah berjanji denganku terlebih dahulu.”

“Cakaplah saja dan aku akan berpegang pada janji-janji kamu itu.”

“Aku tahu kamu dan Tuan Peladang menghadapi masalah kekurangan air. Aku boleh tolong mengatasi masalah tersebut.” Sang Lembu tertawa. Dia tidak percaya dengan ulat tanah. “Dengarlah dulu kata-kata aku ini. Janganlah mentertawakan aku pula,” marah ulat tanah.

“Aku minta maaf Sang Ulat. Cakaplah aku bersedia mendengarnya.”

“Sebenarnya tanah di dalam perigi ini tetap lembap. Kalau digali pasti akan mengeluarkan air. Air perigi ini akan penuh semula. Justeru itu aku boleh berikan perigi ini kepada kamu dan Tuan Peladang. Tetapi sebagai ganjaran kamu hendaklah menyuruh Tuan Peladang menanam tanam-tanaman seperti sayur-sayuran di sekitar perigi ini. Aku dan kawan-kawanku akan berpindah dari perigi ini tetapi tidak jauh dari kawasan ini juga.”

“Terima kasih atas pertolongan kamu itu Sang Ulat. Tapi kenapa tuan aku mesti menanam tanaman di kawasan perigi ini?”

“Itu sebagai ganjaran kepadaku. Kamu hendaklah merahsiakan perkara ini dan tidak memberitahu sesiapa pun tentang perigi ini. Berjanjilah kamu akan menyuruh Tuan Peladang menanam sayur-sayuran di sini.”

“Baiklah. Terima kasih di atas pertolongan kamu itu wahai Sang Ulat.”

“Ah! Perkara biasa saja. Bukankah kita hidup perlu saling tolong-menolong.”

Sang Lembu pulang dengan hati yang girang. Didapatinya Tuan Peladang masih duduk termenung. Sang Lembu terus menceritakan tentang penemuan perigi itu kepada Tuan Peladang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, tanpa berlengah-lengah lagi Tuan Peladang membawa cangkul dan tangga ke perigi yang dikatakan oleh Sang Lembu.

Tuan Peladang turun ke dalam perigi menerusi tangga yang dibawanya dan terus mencangkul tanah di dalam perigi tersebut. Tidak berapa lama kemudian, mata air mulai muncul di permukaan tanah.

Hati Tuan Peladang bertambah riang. Air mulai memenuhi perigi itu. Tuan Peladang menepuk-nepuk belakang Sang Lembu yang berjasa terhadapnya. Walaupun begitu Sang Lembu tidak memberitahu siapakah yang mengesyorkan agar Tuan Peladang menanam sayur-sayuran di kawasan perigi itu. Tuan Peladang pula tidak banyak soal dan bersetuju dengan pendapat Sang Lembu untuk menanam tanam-tanaman di kawasan itu. Ini akan memudahkan lagi baginya mendapat bekalan air.

Beberapa bulan kemudian, sayur-sayuran tersebut tumbuh dengan suburnya. Tuan Peladang berasa sangat gembira. Di samping itu, Tuan Peladang juga menperolehi pendapatan daripada hasil menjual air. Semakin bertambah lumayan pendapatan Tuan Peladang.
Pada suatu hari, Tuan Peladang datang ke kawasan perigi untuk memetik sayur-sayurannya tetapi alangkah terkejutnya Tuan Peladang apabila mendapati sayur-sayurannya terkorek di sana-sini. Tuan Peladang menuduh Sang Lembu memakan dan merosakkan tanaman yang ditanamnya. Sang Lembu tidak mengaku bersalah. Tuan Peladang semakin marah dan memukul belakang Sang Lembu sekuat-kuat hatinya. Sang Lembu menjerit kesakitan dan terpaksalah dia berterus-terang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, Tuan Peladang rasa tertipu.

Tuan Peladang tidak mempercayai bahawa ulat tanah boleh membantu memberikan air. Tuan Peladang mencari ulat tanah di merata-rata tempat. Beberapa kawasan tanah digali oleh Tuan Peladang. Akhirnya Tuan Peladang berjumpa dengan sekelompok ulat tanah. Tanpa membuang masa lagi, Tuan Peladang mengambil racun lalu disemburkannya ke arah ulat-ulat tersebut. Banyaklah ulat tanah yang menjadi korban.

Seekor ulat tanah sempat melarikan diri. Ulat tanah itu tahu Tuan Peladang tidak berhati perut dan mengenang budi. Ulat tanah bersumpah untuk membalas dendam. Ulat tanah tidak mahu melihat Tuan Peladang dan Sang Lembu di kawasannya lagi. Sememangnya Sang Ulat Tanah menyimpan kemarahan yang amat sangat.

Tiba-tiba air perigi menjadi kering kembali. Habis kesemua tanaman Tuan Peladang terkulai layu. Tuan Peladang tersentak melihat perubahan yang mendadak itu. Dia berasa sangat menyesal kerana membunuh ulat-ulat tanah. Sang Lembu pun turut bersedih mengenangkan bencana yang bakal diterimanya nanti. Dari satu arah Sang Lembu terdengar suara Sang Ulat Tanah berkata sesuatu.

“Tidak semua orang itu boleh dijadikan kawan. Lebih baik hidup bersendirian dari berdampingan dengan orang yang tak tahu mengenang budi.”

Kini Sang Lembu mengerti tentang kesilapannya. Dialah yang patut disalahkan kerana memberitahu Tuan Peladang tentang ulat tanah yang tinggal di kawasan itu.
 
 
SUMBER -----http://alynn-media2u-koleksiceritarakyat.blogspot.com/2009/10/sumpahan-ulat-tanah.html

Sunday, 6 October 2013

Kisah Burung Murai Yang Sombong.

Pada zaman dahulu, ada seekor burung murai yang sombong dan bongkak. Semasa dia terbang dia telah berhenti di satu dahan dan telah bertemu dengan seekor burung merbah.

Pada masa itu burung merbah itu sedang bertungkus lumus menyiapkan sarangnya. Burung murai itu telah berkata sambil ketawa terbahak-bahak kepada merbah,

“ Hai Sang Merbah! Aku berasa sangat kasihan melihat keadaan kamu ini. Kamu terpaksa bermandi peluh pada setiap hari. Kau lihatlah diriku ini hidup bebas terbang ke sana sini dengan senang lenangnya.”

Sang Merbah pun menjawabnya,

 “Wahai Sang Murai aku membuat sarang ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk menunggu musim hujan yang akan tiba tidak lama lagi.”

Selang beberapa hari kemudian, Sang Murai datang kembali lagi ke tempat Sang Merbah. Sang Murai amat terkejut apabila melihat sebuah sarang yang cantik dan telah siap dibina oleh Sang Merbah. Dengan tidak disangka-sangka tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya.

Sang Murai telah basah kuyup kerana tiada tempat untuk berteduh. Sang Merbah pula tersenyum selesa berlindung di dalam sarangnya. Sang Merbah terpandang Sang Murai yang kesejukan dan berkata,

“ Wahai Sang Murai, kalau kita rajin, tentulah kita akan mendapat faedahnya kelak. Sebaliknya jika kita malas, pasti diri sendiri yang akan rugi.”

Apabla mendengar kata-kata Sang Merbah itu, Sang Murai berasa sangat malu, lalu dia pun beredar dari situ.

Kesimpulan:

Berakit-rakit kehulu,
Berenang-renang ketepian,
Bersusah-susah dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Cerita Teladan Singa Dan Tikus.

Di sebuah hutan, terdapat seekor singa yang besar sedang nyenyak tidur. Tidak jauh dari tempat singa itu tidur terdapat seekor tikus sedang bermain.

Tikus itu sedang bermain dengan rama-rama. Mereka bermain dengan gembira sambil diikuti gelak dan ketawa. Gelak tawa tikus dan rama-rama itu telah mengganggu kelenaan tidur singa itu. Ini telah menyebabkan singa telah terjaga dari tidurnya dan berasa amat marah.

Lantas singa itu bangun dan ingin menyerang tikus. Tikus berasa takut apabila singa itu ingin menerpa ke arahnya cuba melarikan diri. Dengan perasaan takut tiba-tiba tikus berkata kepada singa,

“Jika awak baik dan segera melepaskan saya, saya tidak akan lupakan jasa baik awak hingga ke akhir hayat saya.”

Singa pun berfikir dengan kata-kata tikus itu dan bersetuju melepaskan tikus itu. Selang beberapa hari kemudian, tikus terdengar akan suara singa mengaum. Singa mengaum sambil meronta-ronta kesakitan.

Rupa-rupanya singa telah terkena perangkap pemburu. Tikus berlari ke arah singa dengan menolong singa memutuskan perangkap jaring itu dengan giginya. Singa berasa gembira seraya berkata,

“Kalau engkau tidak menolong aku tadi, sudah tentu aku akan dibunuh oleh pemburu.”

Semenjak dari kejadian itu singa dan tikus telah berkawan baik (close friend).

Pengajarannya :
Berbuat kebaikan akan dibalas juga dengan kebaikan.

ANDA JUGA MEMINATI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

© 2013 Cerita-Cerita Rakyat.. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top