Hampir
seminggu Tuan Peladang duduk termenung. Musim kemarau memusnahkan
tanaman diladangnya. Tanah menjadi kering-kontang. Tuan Peladang melihat
air simpanannya di dalam tempayan cuma tinggal separuh sahaja lagi. Dia
khuatir jika keadaan kemarau terus berlarutan, ini akan mengakibatkan
dia mati kehausan.
Seekor lembu kepunyaan Tuan Peladang berada di kandang. Sang Lembu gembira kerana tidak perlu bekerja di ladang sejak musim kemarau melanda. Namun demikian, kegembiraan lembu itu tidak lama kerana musim kemarau itu menyebabkan rumput-rumput segar yang menjadi makanannya kering dan mati. Kini sukar bagi Sang Lembu itu mendapatkan rumput yang segar.
Pada
suatu hari Sang Lembu mengambil keputusan untuk meninggalkan Tuan
Peladang. Seboleh-bolehnya Sang Lembu ingin membuat sesuatu untuk
mengubat kesedihan Tuan Peladang. Pada suatu malam, Sang Lembu telah
keluar meninggalkan kandangnya. Sang Lembu berjalan untuk mencari sumber
air. Setelah jauh berjalan, Sang Lembu terjumpa dengan sebuah perigi.
Sang Lembu berfikir, tentulah perigi itu mempunyai air tetapi sungguh
malang nasibnya kerana tiada air di dalam perigi tersebut. Sang Lembu
berasa sedih dan duduk di tepi perigi buta itu sambil mengenangkan nasib
yang bakal manimpa dirinya.
Sewaktu Sang Lembu duduk ditepi perigi itu, dia terdengar satu suara memanggilnya.
“Siapa?” Sang Lembu bertanya kehairanan.
“Siapa?” Sang Lembu bertanya kehairanan.
“Aku, ulat tanah di dalam perigi buta ini.”
“Buat apa kamu di dalam perigi ini?” soal Sang Lembu lagi.
“Ini rumahku Sang Lembu. Sudah lama aku di sini sejak perigi ini kering airnya.”
“Tapi bagaimana kamu boleh hidup tanpa air di sini?” cetus Sang Lembu itu.
“Aku akan memberitahu kamu kenapa aku boleh hidup di sini tetapi kamu mestilah berjanji denganku terlebih dahulu.”
“Cakaplah saja dan aku akan berpegang pada janji-janji kamu itu.”
“Aku
tahu kamu dan Tuan Peladang menghadapi masalah kekurangan air. Aku
boleh tolong mengatasi masalah tersebut.” Sang Lembu tertawa. Dia tidak
percaya dengan ulat tanah. “Dengarlah dulu kata-kata aku ini. Janganlah
mentertawakan aku pula,” marah ulat tanah.
“Aku minta maaf Sang Ulat. Cakaplah aku bersedia mendengarnya.”
“Sebenarnya
tanah di dalam perigi ini tetap lembap. Kalau digali pasti akan
mengeluarkan air. Air perigi ini akan penuh semula. Justeru itu aku
boleh berikan perigi ini kepada kamu dan Tuan Peladang. Tetapi sebagai
ganjaran kamu hendaklah menyuruh Tuan Peladang menanam tanam-tanaman
seperti sayur-sayuran di sekitar perigi ini. Aku dan kawan-kawanku akan
berpindah dari perigi ini tetapi tidak jauh dari kawasan ini juga.”
“Terima kasih atas pertolongan kamu itu Sang Ulat. Tapi kenapa tuan aku mesti menanam tanaman di kawasan perigi ini?”
“Itu
sebagai ganjaran kepadaku. Kamu hendaklah merahsiakan perkara ini dan
tidak memberitahu sesiapa pun tentang perigi ini. Berjanjilah kamu akan
menyuruh Tuan Peladang menanam sayur-sayuran di sini.”
“Baiklah. Terima kasih di atas pertolongan kamu itu wahai Sang Ulat.”
“Ah! Perkara biasa saja. Bukankah kita hidup perlu saling tolong-menolong.”
Sang
Lembu pulang dengan hati yang girang. Didapatinya Tuan Peladang masih
duduk termenung. Sang Lembu terus menceritakan tentang penemuan perigi
itu kepada Tuan Peladang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, tanpa
berlengah-lengah lagi Tuan Peladang membawa cangkul dan tangga ke perigi
yang dikatakan oleh Sang Lembu.
Tuan
Peladang turun ke dalam perigi menerusi tangga yang dibawanya dan terus
mencangkul tanah di dalam perigi tersebut. Tidak berapa lama kemudian,
mata air mulai muncul di permukaan tanah.
Hati
Tuan Peladang bertambah riang. Air mulai memenuhi perigi itu. Tuan
Peladang menepuk-nepuk belakang Sang Lembu yang berjasa terhadapnya.
Walaupun begitu Sang Lembu tidak memberitahu siapakah yang mengesyorkan
agar Tuan Peladang menanam sayur-sayuran di kawasan perigi itu. Tuan
Peladang pula tidak banyak soal dan bersetuju dengan pendapat Sang Lembu
untuk menanam tanam-tanaman di kawasan itu. Ini akan memudahkan lagi
baginya mendapat bekalan air.
Beberapa
bulan kemudian, sayur-sayuran tersebut tumbuh dengan suburnya. Tuan
Peladang berasa sangat gembira. Di samping itu, Tuan Peladang juga
menperolehi pendapatan daripada hasil menjual air. Semakin bertambah
lumayan pendapatan Tuan Peladang.
Pada
suatu hari, Tuan Peladang datang ke kawasan perigi untuk memetik
sayur-sayurannya tetapi alangkah terkejutnya Tuan Peladang apabila
mendapati sayur-sayurannya terkorek di sana-sini. Tuan Peladang menuduh
Sang Lembu memakan dan merosakkan tanaman yang ditanamnya. Sang Lembu
tidak mengaku bersalah. Tuan Peladang semakin marah dan memukul belakang
Sang Lembu sekuat-kuat hatinya. Sang Lembu menjerit kesakitan dan
terpaksalah dia berterus-terang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, Tuan
Peladang rasa tertipu.
Tuan Peladang
tidak mempercayai bahawa ulat tanah boleh membantu memberikan air. Tuan
Peladang mencari ulat tanah di merata-rata tempat. Beberapa kawasan
tanah digali oleh Tuan Peladang. Akhirnya Tuan Peladang berjumpa dengan
sekelompok ulat tanah. Tanpa membuang masa lagi, Tuan Peladang mengambil
racun lalu disemburkannya ke arah ulat-ulat tersebut. Banyaklah ulat
tanah yang menjadi korban.
Seekor
ulat tanah sempat melarikan diri. Ulat tanah itu tahu Tuan Peladang
tidak berhati perut dan mengenang budi. Ulat tanah bersumpah untuk
membalas dendam. Ulat tanah tidak mahu melihat Tuan Peladang dan Sang
Lembu di kawasannya lagi. Sememangnya Sang Ulat Tanah menyimpan
kemarahan yang amat sangat.
Tiba-tiba air
perigi menjadi kering kembali. Habis kesemua tanaman Tuan Peladang
terkulai layu. Tuan Peladang tersentak melihat perubahan yang mendadak
itu. Dia berasa sangat menyesal kerana membunuh ulat-ulat tanah. Sang
Lembu pun turut bersedih mengenangkan bencana yang bakal diterimanya
nanti. Dari satu arah Sang Lembu terdengar suara Sang Ulat Tanah berkata
sesuatu.
“Tidak semua orang itu boleh
dijadikan kawan. Lebih baik hidup bersendirian dari berdampingan dengan
orang yang tak tahu mengenang budi.”
Kini
Sang Lembu mengerti tentang kesilapannya. Dialah yang patut disalahkan
kerana memberitahu Tuan Peladang tentang ulat tanah yang tinggal di
kawasan itu.
SUMBER -----http://alynn-media2u-koleksiceritarakyat.blogspot.com/2009/10/sumpahan-ulat-tanah.html
0 comments:
Post a Comment